Lelaki dikenali sebagai Jagdish Singh itu menceritakan bagaimana dia menghargai sumbangan orang lain yang banyak membantu kehidupan semua.
Setakat pukul 6 petang ini, status yang dimuat turun sejak 4 Februari lalu tersebut mendapat sebanyak 37,378 like dan 942 komen selain turut dikongsi oleh 8,699 pengguna laman sosial.
Menurut Jagdish, dengan nilai wang yang telah dibayar, dia boleh menggembirakan seorang penggunting rambut dari India dan menghargai pengorbanan semua sumbangan polis dan tentera kepada rakyat dengan membayar harga makanan empat anggota berkenaan.
“Bayaran sebenar untuk gunting rambut hanyalah RM12 tetapi saya bayar dia RM32, termasuk RM20 tip. Dia agak terkejut dan sebelum pulang ke rumah saya ucap terima kasih kepada dia.
“Ketika makan di sebuah gerai di Bukit Bintang, saya ternampak dua anggota tentera dan dua anggota polis tengah makan bersama. Saya beritahu kepada pelayan gerai yang saya akan bayar sekali harga makanan mereka, Lagipun jumlahnya hanya RM30 untuk empat orang. Setakat RM30 itu, cukup ke untuk kerja yang mereka lakukan untuk melindungi orang ramai dan membahayakan nyawa sendiri.
“Jadi apa maksud RM20 atau RM30 itu bagi saya? Ia hanya satu nilai di atas sekeping kertas. Sudah 31 tahun, saya hidup dan katakanlah tiba-tiba saya meninggal esok, kertas itu tidak akan beri sebarang manfaat kepada saya pun.
“Saya mengaku saya tidak mempunyai banyak duit tetapi apa yang menghalang daripada memberi? Apa yang membuatkan kita berfikir dengan hanya menyimpan duit untuk diri sendiri akan membahagiakan kita, Apakah wang itu menjamin hidup yang kekal kepada kita semua?” katanya seperti dipetik di akaun laman sosial Facebook miliknya.
Jelas Jagdish, kisah tersebut membuatkan dia sedar bahawa wang bukan segala-galanya tetapi amalan memberi membawa pengertian besar kepada orang lain.
“Hari ini, RM50 yang saya belanjakan tidak membuat saya hilang senyuman, tidak buat saya lapar, tidak buat saya sedih, malah saya tidak menyesal dan yang pasti saya tidak jatuh miskin pun. Apa yang saya hilang, sentiasa boleh dapat balik.
“Perkara seumpama ini buat saya sedar, apa yang kita ada hanyalah satu nilai di atas kertas (wang). Tapi kalau kita letakkan nilai kertas ini pada diri sendiri baharu hidup ini betul-betul berbaloi. Hidup ini bernilai, hanya kalau kita ada nilai. Di akhir hayat, semua yang kita akan ada adalah semua yang kita pernah berikan,” katanya.